Selasa, 29 November 2016

ORANG MELAYU MALAS?


Dalam Hikayat Abdullah karangan Abdullah Munsyi ada mengkritik, dan menegur sikap orang-orang Melayu. Sehinggalah Abdullah menganggap orang-orang Melayu pada penghujung abad ke-19, malas, kurang ilmu pengetahuan, lalu berlaku perpecahan dalam kalangan orang-orang Melayu itu sendiri. Antara petikan yang digambarkan Abdullah dalam Hikayat Abdullah berkenaan sikap orang Melayu malas, iaitu:
…bukanlah berguna kepada kamu sekalian ilmu kira- kira itu? Maka jikalau tidak tahu kira- kira kelak, bagaimana engkau hendak berniaga jual beli? Dan lagi pula beberapa banyak nasihat yang kuberi, tiada juga mereka itu endahkan. (hlm.120)
Maka jikalau kiranya kukhabarkan sekalian itu (tentang ilmu- ilmu baru seperti kemajuan elektrik) kepada orang- orang Melayu nescaya ditutup telinganya serta menampar mukaku, katanya, “Terlalu besar bohong.” (hlm. 257 dan 258)

Melalui petikan diketengahkan, jelas menunjukkan Abdullah dalam tulisan-tulisannya menjadi racun bagi merosakkan fikiran, dan pandangan bangsa lain terhadap sikap orang Melayu yang malas. Abdullah juga berasa kurang senang dengan sikap orang Melayu yang tidak mahu mempelajari ilmu baharu demi memajukan diri sendiri.
Namun begitu, mitos Abdullah ini dan menjadi pegangan masyarakat lain terutamanya penjajah dilihat tidak mempunyai asas bersandarkan bukti yang kukuh. Hal inilah diperkatakan Syed Muhammad Naguib Al-Attas (1989).
Beliau menerangkan, iaitu kemalasan yang digambarkan oleh penjajah tidak menunjukkan kepada keseluruhan penduduk peribumi (Melayu). Ini kerana perkara ini hanya ditafsirkan oleh penjajah sahaja. Fungsi mitos sebagai unsur yang penting dalam ideologi kolonial dengan mengambil contoh-contoh sejarah dan sosiologi. Ideologi daripada kelompok yang dikuasai itu telah diklasifikasikan kepada empat kelompok, iaitu ideologi konservatif, ideologi revormis, ideologi revolusioner dan ideologi tandingan. Ideologi kolonial memanfaatkan gagasan tentang peribumi malas untuk membenarkan amalan penindasan dan ketidakadilan dalam mobilasi tenaga kerja di negara yang dijajah.
Dalam hal yang bersangkutan, Ridhuan Tee Abdullah (2014) berpendapat, “Saya tidak pernah percaya stereotaip Melayu itu malas, manakala bangsa lain rajin atau pandai berniaga. Terpulang kepada kita untuk menentukannya. Ramai juga saya jumpa bangsa lain yang malas.” Melalui pendapat Ridhuan, secara jelas menggambarkan tanggapan orang-orang Melayu malas adalah tidak tepat. Sedangkan pada masa yang sama, masih ada bangsa lain yang juga malas, tetapi tidak diberi perhatian oleh umum.
 Dapat disimpulkan, ciri-ciri masyarakat Melayu yang dianggap malas daripada penulisan terdahulu, terutama daripada karangan Abdullah dilihat tidak jujur dek kemungkinan dipengaruhi oleh sentimen penjajahan, iaitu Inggeris. Oleh itu, pengisahan tentang Melayu malas merupakan satu penciptaan kolonial. Ini adalah untuk menghalang kemajuan orang-orang Melayu demi memperlihatkan orang-orang Melayu sebagai bangsa pemalas yang mendiami sesuatu kawasan di Asia tenggara.



RUJUKAN

https://asalusulorangmelayu.wordpress.com/2012/08/05/bangsa-melayu-itu-pemalas/

http://puteralapismahang.blogspot.my/2015/03/melayu-malas-kenapa-dan-siapa-kata-real.html
Mohd Alif Bin Sapri. (2014) Pandangan & Kritikan Abdullah Munsyi Terhadap Orang Melayu. http://karyaagungmelayukumpulanc2014.blogspot.my/p/p.html
Mios Melayu Malas.https://zanas.wordpress.com/kembalikan-kekuatan-orang-melayu-62-tahun-yang-lalu/mitos-melayu-pemalas/
Ridhuan Tee Abdullah (2014) http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/ridhuan-tee-abdullah/adakah-benar-melayu-itu-malas-1.320929



Tiada ulasan:

Catat Ulasan